Syarikat Advanced Micro Devices (AMD) telah memeterai satu perjanjian bernilai berbilion dolar dengan OpenAI untuk membekalkan cip kecerdasan buatan (AI).
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, AMD turut menawarkan pilihan kepada OpenAI untuk membeli sekitar 10% saham syarikat pembuat cip tersebut.
Saham AMD melonjak lebih 34% pada Isnin lalu, mencatatkan kenaikan terbesar dalam tempoh sembilan tahun, sekaligus menambah kira-kira $80 bilion dalam nilai pasaran syarikat itu.
Perjanjian tersebut menonjolkan permintaan tinggi OpenAI serta industri AI terhadap kuasa pengkomputeran bagi membangunkan teknologi yang mampu menandingi kecerdasan manusia.
Di bawah perjanjian itu, OpenAI akan menggunakan ratusan cip AI AMD atau unit pemprosesan grafik (GPU) dengan kapasiti gabungan enam gigawatt dalam tempoh beberapa tahun, bermula pada separuh kedua tahun 2026.
Jumlah penggunaan tenaga berkenaan dianggarkan setara dengan keperluan 5 juta isi rumah di Amerika Syarikat (AS) atau kira-kira tiga kali ganda kuasa yang dihasilkan oleh Empangan Hoover.
Pihak eksekutif AMD menjangkakan perjanjian ini akan menjana puluhan bilion dolar setahun serta menghasilkan lebih $100 bilion pendapatan baharu dalam tempoh empat tahun daripada OpenAI dan pelanggan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman juga menyifatkan perjanjian dengan AMD akan membantu syarikatnya membangunkan infrastruktur AI yang mampu memenuhi keperluan operasi jangka panjangnya.
Menurut data LSEG, AMD dijangka mencatat pendapatan sebanyak $32.78 bilion tahun ini, manakala penganalisis menjangkakan Nvidia akan memperoleh hasil sekitar $206.26 bilion bagi tahun fiskal semasa.