Ketiga-tiga indeks utama Wall Street Amerika Syarikat (AS) ditutup pada paras tertinggi disokong oleh kenaikan saham sektor teknologi.
Indeks penanda aras naik sedikit ke paras tertinggi sejak 2020, manakala Indeks Nasdaq menokok 0.4% dipacu oleh saham teknologi seperti Nvidia, Apple dan Broadcom.
Sektor teknologi meningkat 0.5% dan menjadi penyumbang terbesar kepada indeks S&P 500 didorong oleh saham cip. Indeks semikonduktor pula melonjak 1.9%, sekaligus mencatat penutupan tertinggi.
Indeks Dow Jones meningkat 0.17% kepada 46,519.72 mata, S&P 500 mengukuh 0.06% kepada 6,715.35 mata, manakala Nasdaq Composite yang berfokus kepada industri teknologi mencanak 0.39% kepada 22,844.05 mata.
Petunjuk pada data pekerjaan yang lemah mendorong pelabur menjangka Federal Reserve (Fed) akan menurunkan kadar faedah dua kali lagi tahun ini, termasuk pada akhir bulan Oktober.
Bagaimanapun, laporan pekerjaan NFP bagi September terpaksa ditangguhkan oleh Jabatan Buruh berikutan penutupan kerajaan AS.
Menurut firma penempatan global Challenger, Grey & Christmas, majikan AS mengumumkan pemberhentian pekerja yang lebih sedikit pada September, tetapi rancangan pengambilan pekerja tahun ini adalah yang terendah sejak 2009.
Perkembangan ini berlaku selepas laporan pekerjaan ADP semalam menunjukkan bacaan lebih lemah daripada jangkaan.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $18.77 bilion, berbanding purata $18.83 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.