Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi telah memuktamadkan rancangan untuk melantik bekas Menteri Pemulihan Wilayah, Satsuki Katayama, sebagai Menteri Kewangan.
Takaichi, yang kini mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP), dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama dalam sejarah Jepun selepas memperoleh undian majoriti di Parlimen.
Katayama, bekas pegawai Kementerian Kewangan dan kini Ahli Parlimen, pernah mengetuai suruhanjaya penyelidikan sistem kewangan dan perbankan dalam parti pemerintah.
Beliau turut memiliki latar belakang yang kukuh dalam bidang ekonomi dan kewangan, serta pernah berkhidmat sebagai Menteri Pemulihan Ekonomi Tempatan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.
Sebagai Menteri Kewangan, Katayama dijangka menghadapi pasaran tukaran asing yang tidak menentu di bawah pentadbiran Takaichi, yang dikenali kerana menyokong dasar fiskal dan monetari bersifat ekspansif.
Dalam satu temu bual dengan Reuters pada Mac lalu, Katayama menyatakan bahawa asas ekonomi Jepun menunjukkan nilai sebenar yen sepatutnya diniagakan pada kadar antara 120 hingga 130 yen berbanding dolar AS.