Hasrat Sarawak untuk menjadi hab utama tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara kini semakin cerah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bagi tujuan tersebut.
Lawatan rasmi selama dua hari yang bermula hari Rabu, akan berfokuskan kepada peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya perancangan peralihan tenaga yang dikemukakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebelum ini, Sarawak sudah pun membuktikan kejayaannya dalam mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan, Indonesia, membuktikan potensi besar wilayah ini dalam sektor tenaga.
Abang Johari menyatakan bahawa kerajaan negeri optimis dengan kepakaran rakyat Sarawak dalam bidang elektrik dan tenaga baharu, yang akan membantu menjadikan Sarawak sebagai hab utama dalam sektor tersebut di rantau ASEAN.
Dengan bakal terjalinnya kerjasama antarabangsa, Sarawak dilihat berpeluang untuk memacu perkembangan industri tenaga boleh diperbaharui di seluruh rantau ini, sekali gus membuka ruang bagi pelaburan dan inovasi yang lebih besar.