Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) telah meluluskan cadangan perubahan peraturan untuk tiga bursa sekuriti utama iaitu NYSE, Nasdaq dan Cboe yang membolehkan mereka menerima pakai piawaian penyenaraian generik bagi mata wang kripto serta produk dagangan komoditi spot lain.
Keputusan ini menghapuskan halangan untuk berpuluh-puluh ETF spot baharu, termasuklah untuk XRP, Solana dan Dogecoin.
Pada Julai lalu, SEC sudah menetapkan garis panduan yang memperincikan kriteria bagi pengurus aset dan bursa sebelum meluluskan ETF spot tanpa perlu melalui semakan panjang.
Sebelum ini, setiap pemfailan ETF kripto spot perlu dikendalikan secara berasingan, dengan proses yang memakan masa sehingga 240 hari. Namun, melalui sistem baharu ini, tempoh tersebut dipendekkan kepada hanya 75 hari dari tarikh pemfailan.
Presiden Bitwise Asset Management, Teddy Fusaro menyifatkan langkah itu sebagai detik penting yang mengubah lebih sedekad duluan sejak permohonan ETF Bitcoin pertama pada 2013.
Pengerusi SEC, Paul Atkins pula menegaskan kelulusan ini akan memupuk inovasi serta mengurangkan halangan terhadap produk aset digital.
ETF pertama di bawah aturan baharu dijangka melibatkan Solana dan XRP, yang mana pemfailannya sudah dibuat lebih setahun lalu. Setakat ini, SEC hanya meluluskan ETF spot untuk Bitcoin dan Ethereum, manakala produk lain masih menunggu giliran.
Berbeza dengan pentadbiran Joe Biden yang lebih berhati-hati, pentadbiran Presiden Donald Trump menunjukkan sikap lebih mesra terhadap komuniti kripto, dengan agenda membawa aset digital ke arus perdana.