Stellantis, gergasi automotif global yang dilahirkan hasil gabungan Fiat Chrysler dan PSA Group, mengumumkan pelaburan bernilai $13 bilion dalam tempoh empat tahun untuk memperluas operasi pembuatan di Amerika Syarikat (AS).
Memiliki portfolio global yang meyakinkan dengan mengendalikan jenama-jenama terkemuka seperti Jeep, Dodge, Peugeot, Alfa Romeo, Maserati dan banyak lagi, pelaburan ini dianggap sebagai yang terbesar dalam sejarah 100 tahun operasi Stellantis di AS.
Pelaburan yang bakal menyaksikan pengenalan lima model baru itu dijangka akan mencipta lebih 5,000 pekerjaan di kilang-kilang di negeri Michigan, Illinois, Ohio dan Indiana.
Salah satu projek penting ialah membuka semula kilang Belvidere, Illinois yang telah ditutup sejak 2023, untuk menghasilkan dua model Jeep mulai 2027, dengan anggaran 3,300 pekerjaan baru.
Selain itu, Stellantis akan menghasilkan trak bersaiz sederhana di kilang Toledo, Ohio, dan memperkenalkan SUV besar serta model Dodge Durango baharu.
Menurut CEO Stellantis, Antonio Filosa, pelaburan ini bertujuan memantapkan kehadiran domestik syarikat dan melindungi operasi daripada kesan tarif ke atas import yang dianggarkan bakal menelan kos $1.7 bilion tahun ini.
Tambah beliau lagi, tarif akan menjadi salah satu pemboleh ubah dalam model perniagaan dan mereka harus bersedia mengurusnya.