Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) membantah penerusan subsidi beras putih tempatan (BPT) kerana berpendapat langkah itu hanya menguntungkan pengilang dan pemborong.
Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff menyatakan ramai pengguna merungut berhubung kualiti BPT yang didakwa tidak memuaskan kerana cepat basi, menjadi lembik walaupun menggunakan sukatan air minimum serta disembur pewangi beras.
Menurut beliau, subsidi berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan itu didakwa tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna kerana data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menunjukkan hanya 40% BPT terjual, manakala selebihnya tidak mendapat sambutan.
Mohamad Yusrizal berkata masalah berkenaan perlu diselesaikan dan KPKM wajar mengkaji semula pelaksanaan subsidi tersebut.
Beliau turut menambah sekiranya subsidi diteruskan, kerajaan perlu menyalurkannya terus kepada pesawah bagi menampung kos input pertanian mereka.
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata kerajaan telah menetapkan tempoh enam bulan bermula 1 Mac hingga semalam bagi menjual 24 juta kampit BPT bersubsidi 10 kilogram secara berperingkat.