Taiwan akan membangunkan sistem pertahanan udara berlapis baharu yang dinamakan ‘T-Dome’.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te menyatakan bahawa langkah itu diambil bagi mempertahankan negara daripada ancaman musuh.
Beliau turut menyeru China supaya menghentikan tindakan kekerasan bagi merampas pulau tersebut.
Taiwan juga berazam untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan mengemukakan bajet khas bagi perbelanjaan ketenteraan menjelang akhir tahun ini.
Pengumuman itu dibuat ketika Taiwan berhadapan dengan peningkatan tekanan ketenteraan dan politik daripada China, yang menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Pembangunan T-Dome akan dipercepatkan bagi membentuk sistem pertahanan udara yang lebih kukuh dengan pertahanan berlapis, keupayaan pengesanan tahap tinggi dan pemintasan berkesan.
Menurut laporan media, sistem ‘T-Dome’ dijangka beroperasi seperti sistem Iron Dome yang digunakan oleh Israel.
Pada masa kini, sistem pertahanan udara Taiwan banyak bergantung kepada peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) serta sistem Sky Bow yang dibangunkan secara domestik.
Namun begitu, China menganggap pemimpin Taiwan itu sebagai ‘pemisah’ dan menolak sebarang tawaran rundingan daripadanya.