Defisit dagangan barangan Kanada meningkat kepada C$6.32 bilion pada Ogos, lebih tinggi daripada jangkaan pasaran dan mencerminkan kejatuhan eksport yang lebih besar daripada peningkatan kecil dalam import. Eksport merosot 3%, manakala import meningkat 0.9%, menurut StatsCan.
Penurunan eksport berlaku bukan sahaja ke Amerika Syarikat yang menjai rakan dagangan utama Kanada tetapi juga ke seluruh dunia. Eksport ke AS turun 3.4% kepada C$44.18 bilion, terutamanya disebabkan penurunan eksport emas mentah, kayu gergaji, jentera dan peralatan.
Bahagian eksport Kanada ke AS kekal tidak stabil, pulih sedikit ke 73%, tetapi masih lebih rendah berbanding 75% tahun lalu. Dalam masa sama, import dari AS jatuh 1.4%, mengecilkan lebihan dagangan dua hala kepada C$6.43 bilion.
Eksport ke negara lain selain AS merosot 2% pada Ogos, penurunan tiga bulan berturut-turut. Sebaliknya, import dari pasaran lain meningkat 4.2%, mendorong defisit dagangan bukan-AS ke paras tertinggi C$12.8 bilion.
Perdana Menteri Mark Carney dijadual bertemu Presiden Trump bagi membincangkan kesan tarif terhadap sektor utama seperti keluli dan automotif. Namun penganalisis menjangka tiada kejayaan besar dalam rundingan jangka pendek, sementara defisit perdagangan Kanada dijangka kekal tinggi dalam masa terdekat.