PETRONAS memaklumkan bahawa tiada sebarang kesan terhadap operasi gas asli cecair (LNG) dan tiada gangguan bekalan di fasiliti LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.
Syarikat minyak nasional itu turut mengambil maklum pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai risiko keselamatan di fasiliti berkenaan.
PETRONAS menegaskan bahawa mereka mengambil serius perkara ini dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi tersebut.
Keselamatan dan kesejahteraan pekerja, kontraktor serta komuniti di sekitar kemudahan LNG kekal menjadi keutamaan syarikat.
Kerajaan telah mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu untuk memperketatkan kawalan keselamatan susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti tersebut.
MKN mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Agensi keselamatan negara bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan bagi menangani ancaman keselamatan tersebut.