Drama berpanjangan antara aplikasi media sosial popular TikTok dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) menemui noktah apabila TikTok akur mengangkat bendera putih daripada peperangan tersebut.
Syarikat itu mengumumkan penutupan operasinya di negara tersebut mulai Ahad, berikutan kegagalan memenuhi tuntutan undang-undang yang memerlukan syarikat induknya, ByteDance, melepaskan aset di AS.
Penutupan yang menjejaskan 170 juta pengguna AS mencetuskan kekecewaan ramai terhadap keputusan ByteDance dan Mahkamah Agung.
Namun, masih ada sedikit harapan ketika bakal Presiden AS, Donald Trump, menyatakan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan langkah untuk mengekalkan operasi TikTok di AS, dengan laporan The Washington Post mendakwa beliau berhasrat mengeluarkan perintah eksekutif untuk menangguhkan penguatkuasaan penutupan selama 60 hingga 90 hari.
Tanpa tindakan pantas, pengguna bakal berdepan skrin gelap dan mesej penutupan aplikasi itu.
Bukan hanya pengguna Amerika sahaja yang bakal merasa kesan ini kerana penutupan ini dijangka menjejaskan operasi global TikTok kerana pergantungan kepada infrastruktur teknologi AS.
TikTok memberi amaran bahawa sekatan ini akan menyebabkan pengguna beralih ke platform lain, sekali gus menggugat masa depan aplikasinya.
ByteDance mendakwa tuntutan penjualan aset melanggar hak kebebasan bersuara, tetapi adakah alasan ini cukup untuk menyelamatkan TikTok dari terkubur di AS?