Sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengenakan tarif besar-besaran 25% ke atas kebanyakan import dari Kanada dan Mexico serta 10% ke atas barangan China, Kanada kembali membalas dengan serangan ekonomi bernilai RM476.63 bilion!
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam telah mengumumkan tarif 25% ke atas barangan AS seperti bir, wain, bourbon, pakaian, dan peralatan rumah.
Tarif bernilai C$30 bilion akan berkuat kuasa pada Selasa, hari yang sama dengan tarif Trump, manakala baki C$125 bilion akan dikenakan dalam tempoh 21 hari.
Trudeau memberi amaran bahawa tindakan Trump bakal memberi kesan kepada poket rakyat Amerika setelah menaikkan kos barangan, mengancam industri automotif, dan menjejaskan bekalan bahan mentah kritikal seperti nikel dan uranium.
Kenyataan ini dibalas oleh Trump yang menyatakan perbincangan bakal dijalankan pada Isnin bersama Trudeau namun pendiriannya tegas untuk mengenakan tarif dengan alasan ‘kesakitan ekonomi’ rakyat Amerika adalah harga yang berbaloi perlu dibayar untuk kepentingan Amerika.
Sementara itu, Mexico turut mengancam tindakan balas, manakala China sedang bersedia untuk mencabar langkah AS di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Pasaran kewangan turut bergolak dengan peso Mexico dan dolar Kanada jatuh, manakala harga saham AS mengalami tekanan.
Dengan kedua-dua negara enggan berundur, dunia kini berdebar, adakah perang perdagangan ini hanya permulaan kepada krisis ekonomi global yang lebih dahsyat?