Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Ahad semalam, mengeluarkan arahan baharu untuk memindahkan golongan gelandangan di ibu negara itu ke lokasi yang jauh dari kawasan pusat pentadbiran, dengan alasan bagi meningkatkan keselamatan dan mencantikkan bandar berkenaan.
Trump, yang berulang kali menyatakan hasrat untuk mengambil alih kawalan penuh ke atas Washington daripada kerajaan tempatan, dijangka mengumumkan pelan terperinci dalam sidang media hari ini.
Menerusi platform Truth Social miliknya, Trump berkata pihaknya akan menyediakan tempat tinggal kepada golongan gelandangan namun ia akan ditempatkan jauh dari ibu negara, sambil memberi amaran bahawa penjenayah akan dipenjarakan dengan segera.
Arahan itu dibuat meskipun statistik rasmi menunjukkan kadar jenayah ganas di Washington susut 26% dalam separuh pertama 2025, manakala angka keseluruhan pada 2024 merupakan yang terendah dalam tempoh tiga dekad.
Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, menolak dakwaan peningkatan jenayah dan menyifatkan sebarang perbandingan bandar itu dengan “negara dilanda perang” sebagai keterlaluan.
Langkah Trump itu juga menyusul selepas beliau sebelum ini mengancam untuk mengerahkan Pengawal Nasional ke ibu negara, selain menghantar pasukan tentera simpanan California ke Los Angeles bagi meredakan protes imigresen meskipun mendapat bantahan pihak berkuasa tempatan.