Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Tapi siapa sangka, dengan kembalinya Donald Trump ke White House, Malaysia mungkin dapat rezeki ‘durian’ tanpa perlu berlari ke kebun!
Menurut analisis Institut Strategik KSI dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), rancangan Trump untuk mengenakan tarif 10% ke atas barangan China mulai Februari 2025 boleh membuka peluang besar kepada Malaysia!
Sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor global, Malaysia berada di dalam radar sebagai ‘rumah baharu’ untuk syarikat-syarikat yang ingin keluar dari bayangan China dengan kedudukan yang paling strategik.
Peluang ini dianggarkan mampu melonjakkan pelaburan langsung asing (FDI) sehingga RM19.7 bilion dalam tempoh empat tahun, menyumbang kenaikan 1% kepada KDNK negara.
Namun, di sebalik potensi besar ini, ada cabaran yang menanti. Dasar Trump yang pro-fosil mungkin menyebabkan kejatuhan harga tenaga global, sekali gus memberi kesan negatif terhadap hasil eksport bahan api mineral Malaysia.
Walaupun begitu, peluang baharu mungkin terbuka untuk syarikat petroleum tempatan, terutama jika insentif tenaga boleh diperbaharui di AS dikurangkan, yang berpotensi meningkatkan permintaan terhadap tenaga tradisional.
Jika dirancang dengan teliti, Malaysia bukan sahaja mampu menghadapi cabaran dasar Trump, tetapi juga berpeluang meraih keuntungan besar daripada ‘permainan ekonomi’ era baharunya.