Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan penggabungan dua platform penstriman terkenal iaitu Netflix dan Warner Bros Discovery Inc yang bernilai $72 bilion.
Beliau turut menyatakan bahawa langkah itu berisiko menimbulkan isu pemusatan kuasa dalam industri penstriman.
Trump juga mengesahkan bahawa beliau telah bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Netflix, Ted Sarandos bagi membincangkan perjanjian tersebut yang merangkumi pengambilalihan Warner Bros, HBO dan perkhidmatan penstriman HBO Max.
Kenyataan itu disampaikan kepada wartawan ketika beliau menghadiri acara Kennedy Center Honors di Washington semalam.
Sementara itu, Trump menegaskan bahawa beliau akan terlibat secara langsung dalam proses kelulusan perjanjian itu yang dijangka akan melalui semakan menyeluruh oleh Jabatan Kehakiman AS.
Perjanjian yang diumumkan Jumaat lalu tidak merangkumi saluran seperti CNN dan TNT, yang kini dimiliki oleh Warner Bros Discovery.
Sekiranya diluluskan, ia bakal memberikan Netflix akses kepada katalog luas karya siri ikonik termasuk francais Harry Potter, Game of Thrones, The Matrix, dan The Lord of the Rings.
Menurut penganalisis, penggabungan ini berpotensi mengubah landskap hiburan global dengan Netflix semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam pasaran penstriman.
Sehingga kini, Netflix dan Warner Bros Discovery masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung komen Trump.























































