Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran bahawa beliau mungkin akan mengenakan tarif terhadap Sepanyol selepas negara itu enggan meningkatkan perbelanjaan pertahanannya mengikut sasaran baharu NATO sebanyak 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam sidang media di White House, Trump menegaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Madrid, menyifatkan Sepanyol sebagai satu-satunya anggota NATO yang gagal menepati komitmen baharu pakatan itu.
Beliau turut memberi bayangan hukuman perdagangan bakal dikenakan sekiranya Sepanyol tidak mengubah pendiriannya.
Trump mempertimbangkan untuk menghukum Sepanyol melalui tarif dengan menganggap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pedro Sánchez itu tidak menghormato NATO.
Kenyataan itu turut mencetuskan kebimbangan diplomatik apabila Trump mencadangkan agar NATO menilai semula keahlian Sepanyol dalam pakatan tersebut.
Walaupun begitu, Madrid mempertahankan pendiriannya bahawa sasaran 5% adalah tidak realistik dan menegaskan komitmen negaranya terhadap keselamatan kolektif menerusi penyertaan dalam misi ketenteraan di Eropah Timur dan Mediterranean.
Tindakan tegas Trump itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu pentadbirannya untuk menekan sekutu-sekutu Eropah agar menanggung lebih banyak kos pertahanan, sekali gus memperlihatkan ketegangan baharu dalam hubungan transatlantik menjelang mesyuarat penting NATO bulan depan.