US dolar berjaya mengekalkan corak pengukuhan untuk 3 hari berturut-turut sehingga Selasa semalam, menandakan pemulihan nilai yang masih berterusan dari penutup minggu lepas.
Tumpuan pelabur berkemungkinan kembali terarah kepada isu ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang menjadi pemacu sentimen semasa.
Presiden Donald Trump yakin perjanjian kukuh mampu dicapai bersama China, namun memberi amaran sekiranya perjanjian gagal dicapai pada 1 November, China akan berdepan tarif 155%.
Tarikan terhadap US dolar sebagai mata wang safe-haven dilihat meningkat sekaligus mengurangkan semula kerugian yang telah dihadapi sepanjang dagangan minggu lepas.
Selain itu, pelabur juga meneliti petunjuk penting dalam pasaran yang sedang menuju ke mesyuarat FOMC seterusnya di penghujung Oktober.
Selepas pemotongan kadar faedah pertama dilakukan pada September, adakah Federal Reserve (Fed) akan meneruskan lagi tindakan tersebut?
Kekangan dihadapi apabila situasi penutupan kerajaan AS menjejaskan penerbitan data-data ekonomi penting untuk beberapa minggu ini.
Selepas tertangguh, data inflasi AS yang menjadi petunjuk penting buat bank pusat dijadualkan untuk diterbitkan pada Jumaat ini.
Angka inflasi tahunan AS untuk September dijangka meningkat lebih tinggi melepasi paras 3.0%, turut akan mempengaruhi keputusan dasar monetari Fed.
Untuk dagangan sesi Eropah hari ini (Rabu), pelabur akan memberi tumpuan kepada laporan inflasi UK yang bakal pengaruhi pergerakan mata wang Pound.