US dolar kekal berlegar di paras tertinggi 2 tahun, namun dilihat gagal untuk kembalikan rentak pengukuhannya pada dagangan Selasa semalam.
Penyusutan US dolar dipaparkan pada sesi New York semalam susulan pasaran memberi reaksi terhadap laporan data inflasi pengeluar Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.
Bacaan bulanan indeks harga pengeluar (PPI) untuk Disember catat peningkatan yang lebih perlahan pada 0.2% berbanding ramalan untuk kekal pada 0.4% seperti bulan sebelumnya.
Ini juga mencetus jangkaan untuk inflasi pengguna yang bakal diterbitkan pada sesi New York malam ini (Rabu) juga perlahan.
Menjadi tumpuan utama pasaran minggu ini, data indeks harga pengguna (CPI) AS diramalkan untuk meningkat lebih tinggi kepada 2.9% untuk Disember berbanding 2.7% sebelumnya.
Pelabur juga sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga ketika waktu semakin hampir untuk Donald Trump mendukung jawatan sebagai pemimpin.
Isu tarif dan cukai di AS terus mengundang spekulasi berterusan dalam pasaran yang mempengaruhi jangkaan terhadap inflasi dan juga dasar monetari bank pusat.
Menilai petunjuk bagi mata wang US dolar, indeks DXY menunjukkan penurunan ke paras 109.200 namun hasil perbendaharaan 10-tahun AS kekal tertinggi sejak Oktober 2023 di paras 4.80%.
Dengan penyusutan US dolar, mata wang Euro berjaya paparkan pemulihan di paras harga $1.0300, sementara Pound kekal lemah dengan mengalami kejatuhan untuk 6 sesi berturut-turut.
Mata wang Asia termasuk dolar Aussie dan Yen dilihat bergerak mendatar menantikan petunjuk baharu menuju dagangan ke penghujung minggu ini.