Mata wang dolar AS terus bergerak rendah untuk hari ketujuh berikutan keluaran data-data ekonomi yang bercampur-campur dan spekulasi mengenai penggantian Pengerusi Fed Jerome Powell yang semakin pasti.
Pada jam 9.50 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) yang mengukur nilai USD berada pada posisi 98.934 mata iaitu naik 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Dolar AS terus berada di bawah tekanan susulan spekulasi bahawa Kevin Hassett, penasihat ekonomi White House, mungkin menggantikan Jerome Powell sebagai Pengerusi Fed apabila tempoh beliau berakhir pada Mei.
Hassett sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kadar faedah yang lebih rendah, sekali gus mengukuhkan jangkaan dasar monetari yang lebih dovish dan menambah tekanan ke atas USD.
Data ekonomi AS yang diterbitkan pada Selasa dan Rabu turut menguatkan sentimen negatif tersebut. Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM menunjukkan sektor perkhidmatan masih berkembang namun semakin perlahan, dengan penyusutan ketara dalam pesanan baharu serta penguncupan pekerjaan bagi bulan keenam berturut-turut.
Angka akhir PMI Perkhidmatan Global S&P turut mengesahkan penyederhanaan aktiviti.
Sementara itu, laporan ADP Employment Change mencatatkan pengurangan 32,000 pekerjaan pada November, bertentangan dengan jangkaan pertambahan pekerjaan. Data lemah ini menambah keyakinan bahawa Fed mungkin mengambil langkah pengurangan kadar pada mesyuarat dasar minggu depan.






















































