Mata wang dolar AS mencatatkan aliran susut ketara berbanding mata wang utama lain pada dagangan Selasa selepas pengumuman data ekonomi yang tertangguh akibat ‘government shutdown’, laporan memaparkan pertumbuhan pekerjaan yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Pada jam 10 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) yang mengukur mata wang dolar AS berada pada paras 98.260 mata iaitu naik sedikit 0.5% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan pertambahan 64,000 pekerjaan pada November, melepasi anggaran penganalisis pasaran. Prestasi ini hadir selepas ekonomi mencatat pengurangan 105,000 pekerjaan pada Oktober, berdasarkan data Jabatan Buruh AS.
Laporan pekerjaan tersebut diterbitkan lewat susulan penutupan kerajaan persekutuan AS selama 43 hari, yang sebelum ini menangguhkan pelepasan data rasmi.
Walaupun data pekerjaan menunjukkan tanda pemulihan sederhana, gambaran keseluruhan pasaran buruh kekal bercampur.
Kadar pengangguran meningkat kepada 4.6% daripada 4.4% sebelum ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap ketahanan pasaran buruh AS menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) pada Januari.
Jangkaan pasaran turut mencerminkan perubahan sentimen dasar monetari, apabila niaga hadapan dana Fed menunjukkan kebarangkalian sekitar 75.6% untuk penangguhan kadar faedah pada mesyuarat seterusnya pada 28 Januari. Angka ini meningkat berbanding sekitar 70% pada minggu sebelumnya, berdasarkan alat FedWatch CME Group.
Fokus pedagang kini beralih kepada siri data ekonomi utama yang bakal diterbitkan dalam minggu ini, khususnya Tuntutan Pengangguran Awal serta laporan inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI), yang dijangka memberi petunjuk lebih jelas mengenai hala tuju dasar Fed seterusnya.






















































