Mata wang dolar AS catat penurunan rendah yang ketara selepas mesyuarat FOMC lepas menunjukkan isyarat pemotongan kadar faedah oleh Fed sebanyak 25 mata asas, menepati ramalan pasaran sejak beberapa minggu lepas.
Pada jam 10.30 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 98.378 mata iaitu mendatar sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) yang ketiga berturut-turut oleh Fed terus menekan Dolar AS. Fed menurunkan julat kadar dana persekutuan kepada 3.50%–3.75%, iaitu paras terendah dalam tempoh tiga tahun, melalui undian 9–3 yang jarang berlaku dengan dua ahli menolak sebarang pemotongan, manakala seorang lagi mencadangkan pemotongan lebih besar sebanyak 50 mata asas.
Selain itu, Fed turut mengumumkan pembelian semula Perbendaharaan bernilai $40 bilion setiap bulan.
Tumpuan pasaran kini beralih kepada data Tuntutan Pengangguran Awal AS, dengan jangkaan terkini pada 220,000 berbanding 191,000 minggu sebelumnya, manakala purata empat minggu meningkat kepada 214,750.
Bacaan buruh yang semakin lemah boleh mengesahkan bahawa Fed mungkin berada sedikit di belakang perkembangan ekonomi yang perlahan.
Dalam masa yang sama, semakin banyak spekulasi berkaitan kemungkinan perubahan kepimpinan di Fed, dengan pasaran menilai potensi Kevin Hassett menggantikan Jerome Powell seawal bulan Mei.
Hassett dianggap lebih dovish, dan jika lantikan itu berlaku, tekanan ke atas USD berpotensi berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2026.





















































