Sejurus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melemparkan ‘bom tarif’ terhadap Mexico, Kanada, dan China, syarikat automotif terkenal Volkswagen mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang merangka strategi bagi menghadapi impak daripada dasar baharu ini.
Fokus utama syarikat itu adalah kilang Puebla di Mexico yang merupakan pusat pengeluaran terbesar Volkswagen, menghasilkan lebih 350,000 kereta pada 2023, termasuk model popular seperti Jetta, Tiguan, dan Taos.
Kini, dengan tarif 25% ke atas import dari Mexico dan Kanada serta tambahan 10% ke atas barangan China, Volkswagen mungkin terpaksa menaikkan harga, mengurangkan pengeluaran, atau menilai semula pelaburan mereka di luar Mexico.
Dalam satu kenyataan rasmi, Volkswagen menegaskan bahawa mereka masih berharap rundingan perdagangan dapat mengelakkan konflik yang boleh menggugat kestabilan industri.
Ketidaktentuan ini menimbulkan persoalan besar iaitu adakah dasar ‘America First’ akhirnya akan membuat rakyat AS membayar lebih untuk kereta yang sama, hanya dengan pelekat harga baharu?