Kerajaan Persekutuan digesa menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam yang menganggur atau tergolong dalam kumpulan B40 serta miskin tegar.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, berkata langkah itu lebih berkesan berbanding pemberian bantuan tunai, selain mampu meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan bantuan segera untuk keluar daripada tekanan kewangan.
Beliau berkata, jika kerajaan Sarawak mampu membantu anak negeri itu melunaskan hutang PTPTN, kerajaan lain juga sepatutnya boleh berbuat demikian kerana ia melibatkan iltizam politik dan keikhlasan dalam membantu rakyat.
Pada 2023, kerajaan Sarawak membayar RM90.42 juta kepada PTPTN bagi menanggung 30 peratus hutang peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus baki pinjaman mereka. Bayaran itu dilaksanakan melalui inisiatif insentif bayaran balik pinjaman pelajar yang diperkenalkan Yayasan Sarawak sejak 2021.
Selain itu, Sng turut menggesa kerajaan menilai semula kursus pengajian di universiti awam agar selaras dengan keperluan industri, sekali gus mengelakkan pembaziran masa dan tenaga graduan pada bidang yang sukar mendapat peluang pekerjaan.
Menurutnya, dasar pendidikan tinggi yang lebih berpandangan jauh akan dapat mengurangkan kadar pengangguran belia, serta memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor pendidikan memberi pulangan positif kepada ekonomi negara.