Saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah apabila pelabur kekurangan data ekonomi baharu susulan penutupan kerajaan persekutuan.
Kekurangan laporan rasmi mendorong pelabur bergantung kepada petunjuk sekunder serta kenyataan daripada pegawai Federal Reserve (Fed) bagi menilai keadaan ekonomi dan hala tuju dasar monetari.
Ketiga-tiga indeks utama merosot selepas tinjauan jangkaan pengguna oleh Fed New York menunjukkan kemerosotan keyakinan terhadap prospek ekonomi dan peningkatan jangkaan inflasi, sekaligus menambah kebimbangan terhadap tekanan harga yang berterusan.
Laporan tersebut turut menarik perhatian lebih besar susulan kekurangan data persekutuan akibat kebuntuan politik di Kongres, yang telah menyebabkan penutupan kerajaan berlanjutan ke hari ketujuh.
Sektor sensitif terhadap ekonomi seperti pembinaan rumah, perumahan, syarikat penerbangan dan pengangkutan mencatatkan prestasi lebih lemah berbanding pasaran secara keseluruhan.
Indeks Dow Jones menyusut 0.20% kepada 46,602.98 mata, S&P 500 jatuh 0.38% kepada 6,714.59 mata, manakala Nasdaq Composite yang berfokus kepada industri teknologi merudum 0.67% kepada 22,788.36 mata.
Pelabur terus bergantung pada data sekunder bebas serta kenyataan pembuat dasar monetari untuk menilai kemungkinan Fed melaksanakan pemotongan kadar faedah kedua tahun ini pada mesyuarat akhir Oktober.
Sementara itu, saham Tesla merosot 4.5% selepas syarikat kenderaan elektrik (EV) itu melancarkan Model Y versi rendah.
Sebaliknya, saham Advanced Micro Devices (AMD) meningkat 3.8% selepas Jefferies menaik taraf kepada ‘beli’, manakala beberapa firma broker lain menaikkan sasaran harga susulan perjanjian pembekalan dengan OpenAI.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $20.8 bilion, berbanding purata $19.44 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.