Pasaran Wall Street ditutup lebih rendah susulan laporan pendapatan yang bercampur-campur, termasuk keputusan mengecewakan daripada Netflix yang melemahkan sentimen risiko dalam kalangan pelabur.
Pelabur turut berhati-hati selepas laporan menyatakan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan terhadap eksport ke China yang menggunakan perisian buatan AS.
Ketiga-tiga indeks utama saham AS meneruskan penurunan selepas laporan tersebut, dengan sektor teknologi serta saham perkhidmatan komunikasi mencatatkan kelemahan, menyebabkan Nasdaq mengalami kejatuhan paling ketara.
Indeks Dow Jones merosot 0.71% kepada 46,590.41 mata, S&P 500 menyusut 0.53% kepada 6,699.40 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi jatuh 0.93% kepada 22,740.40 mata.
Dalam perkembangan lain, sekatan eksport baharu yang merangkumi barangan seperti komputer riba dan enjin jet dilihat sebagai tindak balas terhadap sekatan nadir bumi Beijing, menandakan peningkatan ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Trump turut menyatakan beliau menjangka ‘pertemuan yang sangat berjaya’ dengan Presiden China, Xi Jinping, namun mengakui bahawa pertemuan yang dirancang di Korea Selatan hujung bulan ini mungkin tidak akan berlangsung.
Sementara itu, musim pendapatan suku ketiga berjalan lancar, dengan 86% daripada syarikat yang telah melaporkan berjaya melepasi anggaran Wall Street.
Menurut data terkini daripada LSEG, penganalisis kini menjangkakan pertumbuhan pendapatan suku ketiga S&P 500 sebanyak 9.3% tahun ke tahun, berbanding anggaran pertumbuhan 8.8% pada 1 Oktober.
Dalam pada itu, saham Netflix merosot 10.1% selepas syarikat penstriman itu gagal mencapai jangkaan keuntungan suku tahunan, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap penilaian sahamnya yang tinggi.
Saham Texas Instruments juga jatuh 5.6% selepas syarikat itu mengunjurkan hasil dan keuntungan di bawah jangkaan.
Jumlah dagangan di bursa AS bernilai $24.76 bilion, berbanding purata $20.60 bilion dalam tempoh 20 hari dagangan.