Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketegangan di Timur Tengah hujung minggu lalu bukan sahaja menggegarkan pentas politik antarabangsa, malah turut mengoncang pasaran kripto.
Laporan mengenai serangan ketenteraan bersama oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran mencetuskan reaksi pantas dalam kalangan pelabur.
Dalam tempoh yang singkat, harga aset digital utama merosot dengan ketara apabila sentimen panik mula menguasai pasaran.
Bitcoin antara yang paling terkesan kerana nilainya susut ribuan dolar dalam masa kurang sejam dan menghampiri paras $63,000.
Penurunan itu turut menyebabkan banyak posisi dagangan dilikuidasi, khususnya dalam kalangan pedagang yang menjangka harga akan terus meningkat.
Aktiviti jualan yang tinggi di bursa seperti Binance dan Coinbase menambahkan lagi tekanan terhadap harga ketika pasaran sedang bergolak.
Ethereum juga tidak terlepas daripada tempias keadaan tersebut iaitu harga mata wang kripto kedua terbesar itu jatuh hampir 10% dalam masa kira-kira sejam, sekali gus memadamkan sebahagian keuntungan yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Seperti Bitcoin, Ethereum menyaksikan banyak posisi long dilikuidasi apabila harga bergerak bertentangan dengan jangkaan pedagang.
Walaupun kejatuhan berlaku secara mendadak, pemulihan turut berlaku tidak lama kemudian.
Bitcoin kembali melepasi paras $66,000 manakala Ethereum menghampiri semula paras $2,000.
Pergerakan ini menunjukkan bahawa minat terhadap pasaran kripto masih wujud, namun tahap turun naik kekal tinggi berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Jika ketegangan terus memuncak, tekanan terhadap pasaran berisiko tinggi seperti kripto mungkin kembali meningkat.
Namun jika keadaan kembali reda, sentimen pelabur berpotensi pulih secara berperingkat.























































