Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin masih bertahan sekitar $65,000 walaupun konflik memuncak di Timur Tengah susulan serangan AS-Israel ke atas Iran yang menggoncang pasaran global, melonjakkan harga minyak, menjatuhkan saham Asia dan membuatkan pelabur semakin berhati-hati.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $68,179 iaitu menurun 0.11% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Biasanya, aset berisiko seperti kripto akan merosot tajam ketika krisis geopolitik. Tetapi kali ini, tekanan jualan kelihatan terkawal.
Data daripada CryptoQuant menunjukkan pemegang jangka pendek iaitu golongan yang selalunya cepat panik tidak menghantar Bitcoin dalam jumlah besar ke bursa ketika harga turun ke sekitar $63,000 pada 28 Februari.
Ini berbeza dengan awal Februari lalu apabila 89,000 BTC dijual pada harga rugi dalam tempoh sehari.
Penganalisis melihat keadaan ini sebagai tanda tekanan jualan semakin reda. Apabila pelabur paling gelisah sudah keluar, pasaran biasanya mula stabil dan berpotensi pulih.
Sejarah juga menunjukkan corak serupa kerana ketika Russia menyerang Ukraine pada 2022, Bitcoin jatuh sebelum melonjak 40%.
Pada 2025, selepas Israel menyerang Iran, harga turut merosot sebelum naik sekitar 25%.
Kini, penurunan sekitar 3 hingga 4 peratus dilihat lebih terkawal berbanding jangkaan ramai.
Lebih menarik, dana spot Bitcoin ETF di Amerika Syarikat mencatat aliran masuk $458 juta dalam sehari, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi $55 bilion.
BlackRock mendahului dengan aliran masuk terbesar melalui iShares Bitcoin Trust.
Tokoh industri seperti Samson Mow dan Jan van Eck melihat ketahanan ini sebagai petanda positif, manakala JPMorgan menyifatkan ketegangan semasa sebagai peluang menambah pegangan.
Walaupun perang terus membara, Bitcoin setakat ini tidak menggambarkan keruntuhan yang ketara. Sama ada sejarah akan berulang dengan lonjakan baharu selepas krisis, namun pasaran memilih untuk tunggu dan lihat.























































