Bitcoin kembali mencatatkan pemulihan selepas ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Iran reda, namun data terkini daripada firma analisis on-chain, Glassnode, menunjukkan pasaran masih belum keluar daripada fasa bearish.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $64,666 iaitu positif 0.09% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Mata wang kripto terbesar dunia itu sebelum ini jatuh menghampiri paras $60,000 sebelum kembali meningkat ke sekitar $65,000 susulan sentimen yang lebih positif dalam pasaran global.
Walaupun begitu, Glassnode menegaskan bahawa kenaikan tersebut masih belum cukup untuk mengubah struktur pasaran yang secara keseluruhannya kekal lemah.
Menurut laporan tersebut, Bitcoin kini didagangkan kira-kira 15% di bawah paras True Market Mean yang berada pada $77,200.
Jurang ini menunjukkan pasaran masih berada dalam kitaran bear dan hanya pemulihan melepasi paras tersebut mampu memberikan isyarat perubahan kepada fasa pra-bullish.
Dalam masa sama, pemegang Bitcoin jangka pendek terus berdepan tekanan.
Data menunjukkan pelabur yang membeli dalam tempoh 155 hari lalu masih mengalami kerugian dengan kos purata pegangan sekitar $72,600.
Nisbah keuntungan dan kerugian yang direalisasikan juga kekal di bawah paras neutral, menandakan lebih ramai pelabur menjual pada kerugian berbanding mengambil keuntungan.
Namun begitu, beberapa petanda positif mula muncul. Glassnode mendapati kecairan pasaran spot di Binance kini semakin memihak kepada pembeli, sekali gus membantu menyerap tekanan jualan berhampiran paras $60,000.
Pada masa yang sama, aktiviti dalam pasaran niaga hadapan masih sederhana, menunjukkan kenaikan harga semasa didorong oleh pembelian sebenar dan bukannya spekulasi berleveraj tinggi.
Selain itu, pasaran derivatif turut menunjukkan keadaan yang semakin stabil selepas tempoh turun naik yang ketara.
Walaupun Bitcoin masih berada dalam wilayah bearish, kemunculan minat belian yang lebih kukuh memberi petunjuk bahawa satu dasar harga mungkin sedang terbentuk sebelum kitaran kenaikan baharu bermula.






















































