Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas mengekalkan rekod kenaikannya sejak awal minggu menghampiri $4,800 di tengah-tengah penyusutan mata wang dolar AS dan konflik ketegangan di Timur Tengah yang menunjukkan tanda-tanda keredaan.
Pada jam 9.40 pagi, harga emas berada pada paras $4,705 iaitu turun 1.11% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Sentimen pasaran global kekal berhati-hati apabila faktor geopolitik dan data ekonomi utama terus menjadi pemacu utama pergerakan harga. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa Iran telah meminta gencatan senjata menerusi hantaran di Truth Social.
Namun begitu, jurucakap Kementerian Luar Iran segera menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, sekali gus mengekalkan ketegangan geopolitik pada tahap tinggi.
Dalam masa yang sama, Trump dijangka menyampaikan ucapan waktu perdana pada Khamis, satu perkembangan yang jarang berlaku dan berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran. Situasi menjadi lebih kritikal apabila Selat Hormuz masih sebahagian besarnya ditutup, memberi tekanan kepada bekalan tenaga global dan menyumbang kepada kenaikan harga minyak.
Lonjakan harga tenaga ini telah meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi, sekali gus mendorong pelabur untuk menilai semula jangkaan dasar monetari. Federal Reserve dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan kadar faedah pada julat 3.50% hingga 3.75% selepas mesyuarat pada 17 hingga 18 Mac 2026.
Walaupun unjuran median melalui “dot plot” masih menunjukkan kemungkinan satu pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas pada hujung tahun 2026, terdapat peningkatan pandangan dalam kalangan pegawai bahawa tiada pemotongan kadar akan berlaku dalam tahun ini.
Persekitaran kadar faedah yang tinggi terus memberi tekanan kepada emas, walaupun logam berharga itu kekal sebagai aset lindung nilai utama dalam situasi ketidaktentuan geopolitik dan inflasi.
Ketiadaan pulangan faedah menjadikan emas kurang menarik berbanding aset berfaedah tinggi, terutamanya dalam suasana kadar yang kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.
Dalam jangka masa terdekat, perhatian pasaran kini beralih kepada beberapa data ekonomi utama dari Amerika Syarikat yang dijadualkan dikeluarkan pada minggu ini. Data seperti tuntutan pengangguran awal dan laporan Non-Farm Payroll (NFP) akan menjadi penentu arah seterusnya bagi dolar AS.
Sekiranya data yang diumumkan menunjukkan kelemahan berbanding jangkaan, ia berpotensi melemahkan nilai dolar AS dan seterusnya menyokong kenaikan harga komoditi dalam denominasi dolar.
Pasaran kini berada dalam keadaan sensitif terhadap sebarang perkembangan baharu, sama ada dari sudut geopolitik mahupun data ekonomi. Pergerakan jangka pendek dijangka kekal tidak menentu, dengan hala tuju banyak bergantung kepada kekuatan dolar AS dan perkembangan terkini di Timur Tengah.























































