Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Starlink, Elon Musk telah menyediakan perkhidmatan Starlink secara percuma di Iran selepas kerajaan Republik Islam itu bertindak memutuskan akses internet selepas protes dalam kalangan penunjuk perasaan semakin meningkat.
Menurut laporan media AP, meskipun beberapa sistem komunikasi telah diberikan kelonggaran oleh kerajaan dan orang ramai dapat membuat panggilan telefon semalam, namun akses internet kekal terputus bagi kebanyakan penduduk.
Setakat semalam, 2,000 orang dilaporkan telah terbunuh dan lebih 10,000 orang ditahan di Iran susulan protes berkenaan.
Sebelum ini, Musk mengumumkan bahawa beliau telah menyediakan akses serupa di Venezuela selepas negara itu telah diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Presiden Nicolas Maduro ditahan.
Dalam pada itu, SpaceX turut dilaporkan akan mengecualikan yuran langganan Starlink kepada rakyat Iran untuk tempoh yang terhad, sekali gus membolehkan mereka yang memiliki terminal Starlink kekal berhubung meskipun mengalami gangguan bekalan berterusan.
Menurut laporan Bloomberg, gangguan bekalan elektrik yang bermula pada 8 Januari lalu telah melumpuhkan hampir keseluruhan perkhidmatan internet gentian optik dan mudah alih sehingga menyebabkan kadar penggunaan merosot ke tahap 1% sahaja.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran melabelkan Starlink sebagai haram, serta akan menguatkuasakan tindakan undang-undang lalu menjadikan penggunaan dan pengedarannya sebagai satu jenayah.
Keberkesanan perkhidmatan Starlink di Iran dilihat masih menghadapi cabaran besar memandangkan kerajaan Tehran kini giat berusaha menyekat isyarat setelit dan mengenakan larangan undang-undang yang ketat.

























































