Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Nilai emas dilihat memaparkan aliran cenderung menurun yang tidak ketara selepas mencapai keuntungan pada dagangan sebelumnya apabila mata wang dolar AS memulih berikutan data inflasi AS menepati jangkaan meluas.
Pada jam 8.40 pagi, harga emas berada pada paras $5,157 iaitu turun 0.38% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Data inflasi terkini Amerika Syarikat menunjukkan tekanan harga masih bergerak secara terkawal, namun belum cukup rendah untuk memberi ruang besar kepada Fed melonggarkan dasar monetari dalam masa terdekat.
Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.3% secara bulanan pada Februari, seiring jangkaan pasaran dan lebih tinggi berbanding kenaikan 0.2% pada Januari. Secara tahunan, inflasi utama kekal 2.4%, juga selari dengan ramalan penganalisis.
Sementara itu, CPI teras yang tidak mengambil kira harga makanan dan tenaga mencatatkan kenaikan 0.2% bulanan, sedikit perlahan berbanding 0.3% pada bulan sebelumnya. Bacaan tahunan IHP teras pula kekal 2.5%.
Data ini menunjukkan tekanan inflasi masih wujud walaupun trend penurunan harga berlaku secara beransur-ansur. Paras inflasi juga masih berada di atas sasaran 2% Fed, sekali gus menandakan proses disinflasi masih belum selesai.
Dengan keadaan tersebut, Fed dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat minggu depan. Namun, pembuat dasar berkemungkinan terus mengambil pendekatan berhati-hati dan menunggu bukti inflasi yang lebih kukuh sebelum mempertimbangkan sebarang pelonggaran dasar monetari.
Dalam masa sama, ketegangan geopolitik kekal menjadi pemacu utama sentimen pasaran global apabila konflik antara Amerika Syarikat dan Iran memasuki hari ke-12 tanpa tanda jelas akan reda.
Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan terus menyerang sasaran ketenteraan Iran, manakala Tehran membalas dengan peluru berpandu serta serangan dron terhadap aset AS dan Israel di rantau Timur Tengah.
Presiden AS, Donald Trump, menyatakan perang tersebut mungkin berakhir dalam masa terdekat, namun perkembangan di lapangan masih menunjukkan konflik terus meningkat.
Perhatian pasaran kini tertumpu kepada Selat Hormuz, laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia. Aktiviti perkapalan di kawasan itu dilaporkan semakin perlahan berikutan peningkatan risiko keselamatan.
Tentera AS juga memaklumkan bahawa mereka telah memusnahkan 16 kapal Iran yang dipercayai sedang bersiap sedia untuk menanam periuk api laut berhampiran selat tersebut.
Ketegangan ini menyebabkan pasaran tenaga kekal tidak stabil apabila pedagang cuba menilai potensi gangguan bekalan minyak global.
Sebagai langkah menstabilkan harga tenaga, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dilaporkan bersetuju melepaskan sekitar 400 juta tong minyak daripada rizab strategik negara anggotanya.
Walaupun ketidakpastian geopolitik meningkat, emas masih gagal menarik permintaan selamat yang kuat. Pelabur dilihat lebih memilih Dolar AS kerana kecairannya yang lebih tinggi ketika pasaran berdepan tekanan.
Dalam masa yang sama, risiko konflik berpanjangan yang boleh mendorong kenaikan harga minyak turut meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi global.
Keadaan ini berpotensi merumitkan usaha Fed untuk melonggarkan dasar monetari dan pada masa sama menyokong pengukuhan Dolar AS, sekali gus mengehadkan kenaikan harga emas.























































