Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga bullion menghadapi tekanan jualan ketara selepas catat kejatuhan kira-kira 8% sejak dagangan Isnin di tengah-tengah pasaran mula melihat keyakinan ke atas mata wang USD walaupun prospek penurunan kadar AS semakin suram.
Pada jam 8.40 pagi, harga emas berada pada paras $5,217 iaitu naik 0.80% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Kebimbangan terhadap tekanan inflasi kembali memuncak apabila harga minyak meningkat, sekali gus mengubah jangkaan pasaran terhadap dasar monetari Amerika Syarikat.
Lonjakan komoditi tenaga itu menyebabkan pelabur mengurangkan kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) dalam masa terdekat.
Dolar AS melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan susulan perubahan sentimen tersebut. Pengukuhan dolar menjadikan emas yang didenominasikan dalam USD lebih mahal untuk pembeli antarabangsa, sekali gus menekan harga logam berharga itu.
Pasaran kini menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah sekurang-kurangnya sehingga musim panas.
Jangkaan ini berbeza dengan pendirian Presiden AS, Donald Trump, yang terus mendesak kadar faedah lebih rendah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Tekanan terhadap emas juga didorong oleh peralihan aliran dana ke arah kecairan dan aset tunai. Dolar yang kukuh serta kenaikan hasil bon AS mengurangkan daya tarikan emas yang tidak menawarkan pulangan faedah.
Keadaan ini menyumbang kepada penyusutan harga emas dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, potensi penurunan emas dilihat terhad berikutan peningkatan risiko geopolitik yang terus menyokong permintaan aset selamat.
Laporan menyatakan semua kakitangan diplomatik Amerika telah dikenal pasti selamat selepas insiden dron di kawasan konsulat AS di Dubai. Sebelum ini, AS menutup beberapa kedutaan di Asia Barat termasuk Arab Saudi, Kuwait dan Lubnan serta mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel melancarkan operasi darat baharu di selatan Lubnan bagi menyasarkan Hizbullah, selain memperhebatkan serangan udara.
Ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu berpotensi menghidupkan semula aliran ‘safe haven’, sekali gus mengehadkan tekanan jualan terhadap emas dalam tempoh terdekat.























































