Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran XAU/USD mengekalkan momentum tinggi di atas $5,000 selepas alami lantunan sejak pembukaan minggu di tengah-tengah keluaran data-data ekonomi penting dan tumpuan pasaran mengenai rundingan senjata nuklear di antara AS-Iran yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $5,005 iaitu naik kira-kira 0.83% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Logam berharga didagangkan bercampur-campur dalam sesi semalaman apabila dolar AS kekal stabil, disokong oleh sentimen pasaran yang lebih tenang susulan berakhirnya penutupan kerajaan Amerika Syarikat serta reaksi positif terhadap pencalonan Kevin Warsh sebagai Pengerusi Fed yang baharu.
Namun, momentum pengukuhan Greenback yang diperhatikan sejak beberapa hari lalu dilihat mula kehilangan daya, dengan pasaran beralih fokus kepada data ekonomi utama yang diterbitkan malam tadi.
Laporan pekerjaan sektor swasta ADP menunjukkan pertambahan hanya 22,000 pekerjaan bagi Januari, jauh lebih rendah berbanding jangkaan pasaran, sekali gus mencerminkan kelembapan dalam pasaran buruh AS.
Prestasi yang lemah ini menguatkan jangkaan bahawa aktiviti pengambilan pekerja sedang berdepan tekanan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan profesional dan perniagaan, sekali gus mengehadkan potensi pengukuhan lanjut USD dalam jangka pendek .
Dalam masa yang sama, data PMI perkhidmatan AS kekal stabil pada paras 53.8, menandakan sektor perkhidmatan masih berada dalam zon pengembangan.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan pesanan baharu dan pekerjaan menunjukkan tanda perlahan, mencerminkan sentimen perniagaan yang lebih berhati-hati di tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan risiko geopolitik global .
Gabungan data ADP yang lebih lemah dan PMI perkhidmatan yang sederhana ini dilihat mewujudkan ruang sokongan kepada harga emas, meskipun tekanan daripada USD yang masih kukuh terus mengehadkan lonjakan lebih agresif.
Pasaran kini menilai semula prospek dasar monetari Fed, dengan kebarangkalian pelonggaran dasar kekal bergantung kepada trajektori data ekonomi seterusnya.
Di samping itu, tumpuan pelabur turut terarah kepada perkembangan geopolitik menjelang rundingan nuklear antara Amerika Syarikat dan Iran yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Oman.
Rundingan ini diadakan semula selepas tekanan diplomatik daripada beberapa negara Timur Tengah, dengan pasaran memerhati potensi impaknya terhadap kestabilan serantau dan hala tuju harga tenaga global.
Sebarang kemajuan positif berpotensi meredakan kebimbangan geopolitik, sekali gus mempengaruhi aliran aset selamat seperti emas.























































