Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas mencecah rekod tertinggi sepanjang masa sekali lagi melebihi $5,000 di pembukaan minggu di tengah-tengah risiko geopolitik dan kebimbangan mengenai keputusan Fed minggu ini.
Pada jam 10 pagi, bullion berada pada paras $5,076 iaitu naik 1.79% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Rundingan damai tiga hala pertama melibatkan Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat berakhir di Abu Dhabi tanpa sebarang kemajuan ketara, ketika konflik ketenteraan masih berterusan, menurut laporan BBC.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mencadangkan pusingan rundingan kedua seawal minggu hadapan, manakala seorang pegawai Amerika Syarikat memaklumkan sesi rundingan baharu dijangka bermula pada 1 Februari.
Ketegangan geopolitik yang berlarutan antara Rusia dan Ukraine, ditambah dengan campur tangan ketenteraan di Venezuela serta ancaman untuk mengambil alih Greenland, terus meningkatkan permintaan terhadap aset selamat tradisional seperti Emas.
Dalam masa yang sama, pasaran turut memberi tumpuan kepada keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berhubung pelantikan Pengerusi Fed yang baharu selepas beliau mengesahkan proses temu duga calon telah selesai.
Pelantikan pengerusi yang lebih dovish berpotensi meningkatkan jangkaan pemotongan kadar faedah selanjutnya tahun ini, sekali gus menyokong kenaikan harga emas.
Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos lepas memegang emas, menjadikan logam berharga itu lebih menarik walaupun tidak menawarkan pulangan faedah.






















































