Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas meneruskan rental kejatuhannya lebih mendalam memasuki hari ketujuh di tengah ketegangan di Timur Tengah dan inflasi Amerika Syarikat yang semakin meningkat, hal ini menjadi penghalang utama buat Fed melonggarkan dasarnya.
Pada jam 8.30 pagi, harga emas berada pada paras $4,843 iaitu naik 0.52% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Laporan terkini mengenai konflik di Iran mendedahkan serangan Israel ke atas tapak tenaga gas Pars. Sebagai tindak balas, Tehran mengancam untuk menyerang infrastruktur musuh serta mengeluarkan amaran keras terhadap beberapa kawasan sasaran.
Ketegangan geopolitik ini telah mencetuskan lonjakan ketara pada harga minyak mentah WTI dan Brent, yang kini menghampiri rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada 9 Mac lalu.
Di Amerika Syarikat, data Indeks Harga Pengeluar (PPI) bagi bulan Februari menunjukkan kenaikan yang lebih tinggi daripada jangkaan. PPI berkembang kepada 3.4%, mengatasi ramalan pasaran dan bacaan 2.9% pada bulan Januari.
Data inflasi yang panas ini sekali gus melemahkan harapan pelabur untuk melihat pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) dalam masa terdekat.
Rentetan itu, mesyuarat FOMC bagi bulan Mac menyaksikan penggubal dasar bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah stabil pada tahap 3.75%, selaras dengan jangkaan meluas pasaran.
Tumpuan pelabur kini beralih sepenuhnya kepada strategi Fed dalam mengatur keputusan bagi mesyuarat yang akan datang.
Dalam sidang medianya, Pengerusi Fed Jerome Powell menegaskan bahawa tahap dasar monetari semasa masih dianggap bersesuaian untuk menyokong sektor pekerjaan dan mencapai sasaran inflasi 2%.
Beliau menyatakan bahawa Fed akan terus memantau data ekonomi dengan teliti dan tidak akan tergesa-gesa melakukan perubahan drastik, demi mengekalkan komitmen terhadap kestabilan harga.
Walau bagaimanapun, pasaran wang kini dilihat kurang yakin terhadap langkah pelonggaran dasar Fed sepanjang tahun 2026. Sentimen berhati-hati ini didorong oleh risiko kenaikan harga tenaga yang semakin meruncing impak daripada konflik yang berlarutan di Timur Tengah.






















































