Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas mengekalkan paras harga di atas $5,000 meskipun keluaran data pekerjaan AS terkini mencatatkan angka melebihi jangkaan, serta mencetuskan penetapan semula nada Fed pada awal tahun 2026.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $5,050 iaitu susut 0.67% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Laporan Non-Farm Payrolls (NFP) Amerika Syarikat yang tertangguh susulan penutupan kerajaan selama tiga hari mencatatkan pertumbuhan pekerjaan lebih kukuh daripada jangkaan, dengan peningkatan sebanyak 130,000 pada Januari, jauh mengatasi anggaran 48,000 serta lebih tinggi berbanding 70,000 pada Disember.
Susulan itu, kadar pengangguran menurun kepada 4.3% daripada 4.4%, sekali gus mencetuskan reaksi pasaran yang kini menjangkakan pemotongan kadar faedah pertama Federal Reserve (Fed) seawal Julai.
Dalam perkembangan lain, Presiden Fed Kansas City, Jeffrey Schmid, menegaskan pendirian agresif terhadap dasar monetari dengan menolak cadangan untuk menurunkan kadar faedah.
Beliau berpandangan bahawa langkah tersebut berisiko membenarkan inflasi kekal tinggi dalam tempoh lebih lama, selain menegaskan dasar monetari masih perlu kekal ketat selagi inflasi hampir 3%.
Namun begitu, harga emas terus disokong oleh pembelian berterusan bank pusat, jangkaan penurunan nilai mata wang, serta ketidaktentuan politik yang berpunca daripada dasar kontroversi White House.
Laporan Bloomberg mendedahkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada pakatan perdagangan USMCA, satu langkah yang berpotensi menggugat hubungan perdagangan global bernilai hampir $2 trilion.
Perkembangan ini dijangka meningkatkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur dan pemimpin dunia.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, memaklumkan bahawa isu wilayah menjadi fokus utama dalam rundingan seterusnya bersama Amerika Syarikat, sekali gus memberi bayangan kemungkinan kompromi wilayah bagi menamatkan konflik berpanjangan.






















































