Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas (XAU/USD) melonjak tinggi sejak minggu dibuka, menghampiri paras $4,500 apabila ketegangan geopolitik dan jangkaan pemotongan kadar faedah AS terus menyalakan permintaan terhadap logam berharga ini.
Laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan AS bakal diumumkan hari ini, menambah elemen ketidakpastian pasaran.
Pada jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras $4,475 iaitu susut 0.43% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia
Serangan ketenteraan besar-besaran AS ke atas Venezuela hujung minggu lalu menggemparkan pasaran apabila Presiden Nicolas Maduro dan isterinya dilaporkan ditangkap dan dibawa keluar dari negara itu.
Namun, Maduro menafikan tuduhan dadah dan keganasan yang dikenakan oleh AS. Krisis ini mengukuhkan kedudukan emas sebagai aset pelindung nilai dalam jangka pendek.
Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan majoriti pegawai Federal Reserve (Fed) bersetuju dengan penurunan kadar faedah jika inflasi menurun, walaupun tiada kata sepakat bila dan sejauh mana potongan itu akan berlaku.
Kontrak niaga hadapan Fed menganggarkan peluang 82% kadar faedah kekal tidak berubah pada mesyuarat 27 hingga 28 Januari, menurut CME FedWatch. Potongan kadar akan mengurangkan kos peluang memegang emas yang tiada dividen, sekaligus menyokong harga logam berharga ini.
Fokus seterusnya ialah laporan pekerjaan AS bulan Disember yang dijangka keluar Jumaat ini.
Unjuran menunjukkan tambahan 55,000 pekerjaan dan kadar pengangguran turun ke 4.5%. Data lebih kukuh dari jangkaan akan memperkuatkan dolar AS, seterusnya memberi tekanan kepada harga komoditi berdenominasi dolar.
Paradoks utama kini, ketegangan geopolitik dan kebimbangan inflasi terus mendorong emas naik, sementara sentimen pasaran terhadap dasar monetari Fed kekal bercelaru.
Pelabur harus bersiap sedia untuk volatiliti tinggi apabila data ekonomi utama AS keluar, kerana ia bakal menentukan hala tuju dolar dan harga emas dalam tempoh terdekat.
























































