Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas mengekalkan momentum hambar memasuki minggu ketiga di sekitar paras $5,000 walaupun berlakunya perubahan sentimen geopolitik yang sepatutnya memacu lonjakan harga, namun pelabur akan memberikan perhatian tinggi buat data-data penting menjelang penutup minggu.
Pada jam 8.30 pagi, harga emas berada pada paras $4,966 iaitu turun 0.20% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Kenyataan terbaharu dari Washington kembali menghidupkan ketegangan geopolitik yang berpotensi menggerakkan pasaran global.
Naib Presiden AS, JD Vance, berkata Iran masih gagal memenuhi tuntutan utama Amerika Syarikat dalam rundingan semasa. Susulan itu, Washington bersetuju memberi Tehran tempoh dua minggu bagi merapatkan jurang perbezaan sebelum sebarang keputusan lanjut diambil.
Pada masa sama, Presiden AS Donald Trump menegaskan bahawa penggunaan kekerasan bukan sesuatu yang diketepikan sekiranya diplomasi gagal menghentikan program nuklear Iran. Nada yang lebih tegas ini meningkatkan risiko geopolitik, sekali gus menyokong permintaan terhadap aset selamat seperti emas.
Dalam keadaan pasaran yang masih nipis berikutan cuti umum di beberapa rantau utama, pergerakan harga dilihat lebih sensitif terhadap tajuk berita. Penganalisis di BMO Capital Markets menjangkakan harga emas berpotensi mengalami tekanan jangka pendek sepanjang tempoh kecairan rendah.
Namun, sebarang penurunan mungkin membuka ruang belian pada harga lebih murah sekiranya risiko geopolitik terus meningkat.
Dalam masa yang sama, pengukuhan semula Dolar AS berpotensi mengehadkan kenaikan harga komoditi yang diniagakan dalam denominasi USD.
Minit mesyuarat Januari oleh Federal Open Market Committee menunjukkan nada yang bercampur dalam kalangan pembuat dasar. Sebahagian ahli melihat kemungkinan kenaikan kadar faedah sekiranya inflasi kekal degil.
Jangkaan pasaran terhadap pemotongan kadar tahun ini turut disemak semula. Walaupun pedagang mengurangkan unjuran pelonggaran dasar monetari, kontrak niaga hadapan dana Fed masih memberi bayangan bahawa pengurangan kadar berkemungkinan berlaku seawal Jun.
Secara keseluruhan, hala tuju emas kini dipengaruhi dua faktor utama iaitu risiko geopolitik yang menyokong harga dan kekuatan dolar serta jangkaan kadar faedah yang berpotensi mengekang kenaikan.
Pasaran kekal sensitif terhadap sebarang perkembangan baharu dari Washington dan Tehran.
























































