Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bullion mempertahankan posisi di sekitar paras $4,600 sejak dagangan Isnin semalam berikutan dorongan risiko geopolitik serta data inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) AS Disember yang akan diterbitkan pada malam ini.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $4,587 iaitu turun 0.21% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Sementara itu, pemain pasaran dikejutkan dengan ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell, pada Ahad lalu yang mendedahkan beliau sedang disiasat atas dakwaan jenayah, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai kebebasan institusi kewangan Amerika Syarikat.
Powell menyatakan bahawa Jabatan Kehakiman AS telah mengeluarkan notis undang-undang bertulis kepada bank pusat dan mengancam untuk mendakwa secara jenayah berhubung keterangannya di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat pada Jun 2025, berkaitan pengubahsuaian ibu pejabat Fed di Washington yang bernilai $2.5 bilion.
Walau bagaimanapun, Powell menganggap tuduhan tersebut bersifat bermotifkan politik dan bertujuan memberi tekanan kepada Fed supaya mengurangkan kadar faedah.
Selain itu, ketegangan yang berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat berpotensi meningkatkan permintaan terhadap aset selamat tradisional seperti emas.
Presiden AS, Donald Trump, mengancam akan mengambil tindakan tegas sekiranya pihak berkuasa Iran menyasarkan orang awam, manakala Tehran pula memberi amaran kepada AS dan Israel agar tidak campur tangan dalam konflik tersebut.
Pada hari Isnin, Trump mengumumkan bahawa mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran akan dikenakan tarif sebanyak 25% ke atas sebarang urusan perdagangan yang melibatkan Amerika Syarikat.
Buat masa ini, pemain pasaran akan menantikan keluaran data inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang dijadualkan diterbitkan pada jam 9.30 malam ini (Selasa).
CPI utama dan teras dijangka mencatat peningkatan tahunan pada 2.7% bagi Disember. Sebarang tanda kenaikan inflasi berpotensi mengukuhkan aliran masuk dolar AS (USD) dan seterusnya memberi tekanan kepada harga komoditi seperti emas.





















































