Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas kekalkan rentak tinggi sejak minggu lepas di tengah-tengah tekanan buat pasaran mata wang USD dan permintaan bullion yang tinggi oleh bank-bank pusat global.
Pada jam 9.10 pagi, harga emas berada pada paras $5,010 iaitu naik kira-kira 0.92% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Kebimbangan terhadap kebebasan Federal Reserve Amerika Syarikat (Fed) terus memberi tekanan kepada mata wang dolar AS (USD) selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, enggan menolak kemungkinan siasatan jenayah terhadap Kevin Warsh, calon Presiden Donald Trump untuk jawatan pengerusi Fed, sekiranya beliau enggan menurunkan kadar faedah.
Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan campur tangan politik terhadap dasar monetari, sekali gus mengheret nilai USD lebih rendah dan memberikan sedikit sokongan kepada harga komoditi yang diniagakan dalam denominasi dolar.
Dalam pada itu, Bank Rakyat China (PBOC) meneruskan pembelian emasnya untuk bulan ke-15 berturut-turut pada Januari. Pegangan emas bank pusat China meningkat kepada 74.19 juta auns troy menjelang akhir Januari, berbanding 74.15 juta auns pada bulan sebelumnya.
Peningkatan permintaan daripada China, sebagai pengguna emas terbesar dunia, dilihat terus menyokong harga emas global dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
Di Timur Tengah, perkembangan rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat turut menjadi perhatian pasaran. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyifatkan rundingan tersebut sebagai satu perkembangan positif, namun menegaskan keperluan menolak sebarang bentuk tekanan atau intimidasi.
Pada masa sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menekankan bahawa sebarang dialog hanya boleh diteruskan sekiranya kedua-dua pihak mengamalkan pendekatan menahan diri dan mengelakkan ancaman.
Presiden AS, Donald Trump, memaklumkan bahawa satu lagi mesyuarat dijangka diadakan dalam masa terdekat, dengan pasaran terus memantau perkembangan rundingan ini.
Sebarang tanda kemajuan positif berpotensi mengurangkan permintaan terhadap aset selamat, sekali gus memberi tekanan kepada harga logam berharga dalam jangka masa pendek.
























































