Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga bullion meneruskan rentak kejatuhan mendalamnya sejak awal Mac menuju ke paras terendah sekitar $4,100 iaitu rekod yang dicapai pada November lepas berikutan serangan berterusan oleh Donald Trump ke atas tapak tenaga Iran.
Pada jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras $4,358 iaitu susut 1.10% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Sentimen pasaran kekal positif selepas Donald Trump menyatakan bahawa rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran berlangsung dengan baik dan produktif.
Walaupun laporan itu dipersoalkan oleh media Iran, perkembangan diplomatik dilihat masih berjalan apabila beberapa negara termasuk Turki, Mesir dan Pakistan dilaporkan mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil kedua-dua pihak.
Perkembangan ini menekan harga minyak global, dengan penurunan sekitar 10% ke paras terendah mingguan apabila selera risiko meningkat. Kesan tersebut turut menyokong pembukaan positif di Wall Street.
Dalam masa sama, Dolar AS melemah 0.18% sejajar dengan hubungan jangka pendeknya terhadap harga minyak mentah WTI, seperti yang dicerminkan oleh Indeks Dolar AS.
Indeks tersebut pulih daripada paras rendah harian 98.88 kepada sekitar 99.32, namun masih berada di bawah harga pembukaan. Penurunan turut dilihat dalam hasil bon kerajaan AS apabila hasil nota 10 tahun merosot ke sekitar 4.34%, sekali gus menyokong permintaan terhadap emas sebagai aset selamat.
Dalam masa yang sama, Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa, Fatih Birol, menegaskan bahawa krisis semasa di Timur Tengah memberi impak besar kepada pasaran tenaga, malah melebihi gabungan kejutan minyak pada era 1970-an serta kesan konflik Perang Rusia-Ukraine terhadap pasaran gas.
Dari sudut ekonomi AS, ketiadaan data utama tidak menghalang kenyataan pegawai Rizab Persekutuan daripada terus menjadi pemacu pasaran.
Presiden Fed Chicago, Austan Goolsbee, menyatakan bahawa potensi penurunan kadar faedah masih bergantung kepada kemajuan inflasi, sambil memberi amaran bahawa tekanan harga tenaga kekal sebagai risiko utama kepada ekonomi.
Sementara itu, Gabenor Fed, Stephen Miran, berpandangan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan kejutan harga tenaga terhadap inflasi. Beliau bagaimanapun mengekalkan pandangan bahawa pelonggaran dasar monetari berpotensi diperlukan bagi menyokong kekuatan pasaran buruh.

























































