Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran kripto kembali menunjukkan taring apabila Bitcoin melonjak lebih 12% dalam tempoh beberapa hari, disokong oleh aliran masuk dana besar ke dalam ETF Bitcoin di Amerika Syarikat.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $73,890 iaitu menurun 0.03% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Sejak 9 Mac, hampir $1 bilion telah mengalir masuk ke dalam dana ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin pulih terhadap aset digital tersebut.
Kenaikan ini bukan sekadar pergerakan harga biasa.
Dana besar seperti BlackRock dan Fidelity menjadi peneraju utama, menyumbang sebahagian besar daripada aliran masuk tersebut.
Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa pelabur institusi masih melihat Bitcoin sebagai aset bernilai tinggi, walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan turun naik pasaran minyak.
Menariknya, momentum ini turut dipacu oleh sentimen positif daripada khabar angin bahawa ketegangan antara Amerika Syarikat, Iran dan Israel mungkin menunjukkan tanda-tanda reda.
Faktor ini secara tidak langsung menyuntik semangat baharu ke dalam pasaran kripto, sekali gus mendorong harga Bitcoin melepasi paras $74,000 buat kali pertama dalam tempoh enam minggu.
Dalam masa sama, fenomena FOMO kembali memuncak apabila pelabur mula bimbang terlepas peluang keuntungan.
Indeks Crypto Fear & Greed juga menunjukkan perubahan ketara apabila pasaran keluar daripada zon ‘extreme fear’ dan beralih ke arah lebih optimistik.
























































