Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
ETF Bitcoin spot Amerika Syarikat kembali menjadi tumpuan apabila merekodkan aliran keluar dana sekitar $104.9 juta dalam sesi dagangan terbaru.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $66,489 iaitu menurun 0.01% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Walaupun jumlah ini tidak sebesar sebelum ini, ia tetap mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur institusi.
Lebih ketara, volum dagangan turut merosot kepada sekitar $3 bilion, jauh lebih rendah berbanding kemuncak awal Februari, menandakan momentum pasaran semakin perlahan.
Namun di sebalik aliran keluar tersebut, laporan pegangan suku keempat 2025 mendedahkan perkembangan menarik.
BlackRock iShares Bitcoin Trust (IBIT) menerima pembelian besar daripada beberapa institusi, termasuk Jane Street yang membeli sekitar $276 juta.
Paling mencuri perhatian ialah syarikat Hong Kong, Laurore, yang membuat pembelian tunggal bernilai $436.2 juta dan dilaporkan kepada U.S. Securities and Exchange Commission.
Langkah ini mencetuskan spekulasi bahawa modal institusi China mungkin mula memasuki pasaran Bitcoin melalui laluan ETF.
Dalam masa sama, ada juga pemain besar yang mengurangkan pendedahan, termasuk Brevan Howard dan Goldman Sachs.
Gabungan pembelian dan penjualan ini menunjukkan pasaran tidak berada dalam keadaan panik, tetapi sedang melalui fasa penyesuaian semula.
Walaupun aktiviti dagangan semakin perlahan, pergerakan institusi membayangkan strategi jangka panjang masih sedang disusun di sebalik tabir.

























































