Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Fed St. Louis, Alberto Musalem, memberi amaran bahawa Bank Rizab Persekutuan AS mesti bersedia untuk menggerakkan kadar faedah sama ada dinaikkan atau di turunkan. Beliau menekankan bahawa risiko terhadap kestabilan harga dan pasaran buruh kini semakin meningkat secara serentak, memerlukan pendekatan yang lebih fleksibel.
Walaupun menyokong keputusan mengekalkan kadar faedah buat masa ini, Musalem menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk menyokong pelarasan dasar jika data ekonomi menunjukkan keperluan mendesak. Senario ideal beliau adalah melihat inflasi menurun ke arah sasaran 2% sementara pengangguran kekal stabil.
Isu harga petrol menjadi kebimbangan utama apabila ia melonjak melebihi $4 segelen di AS buat kali pertama dalam tempoh hampir empat tahun. Lonjakan ini, yang berpunca daripada konflik AS-Israel dengan Iran, telah mula memberi kesan langsung kepada kuasa beli isi rumah dan sentimen pengguna secara keseluruhan.
Musalem memberi amaran khusus mengenai risiko “jangkaan inflasi yang tidak terkawal.” Jika rakyat mula menjangkakan harga akan terus naik secara kekal, ia bukan sahaja akan memburukkan inflasi tetapi juga berisiko melumpuhkan pertumbuhan ekonomi dan melemahkan pasaran buruh.
Setakat ini, pasaran kewangan menjangkakan tiada perubahan kadar faedah bagi baki tahun 2026. Fed kini berada dalam fasa “tunggu dan lihat” untuk menilai sejauh mana kejutan harga tenaga akibat peperangan di Timur Tengah akan meresap ke dalam ekonomi domestik.





















































