Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga minyak mentah merosot semalam selepas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya, Cilia Flores telah ditahan oleh tentera Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pengeluaran minyak mentah dunia.
Harga minyak mentah AS merosot 31 sen atau 0.54% kepada $57.01 setong.
Sementara itu, Brent yang merupakan penanda aras global jatuh 22 sen atau 0.36% kepada $60.53 setong.
Presiden AS, Donald Trump menjelaskan bahawa sasaran utama operasi ketenteraan tersebut adalah untuk menghidupkan semula pelaburan syarikat minyak Amerika di Venezuela yang telah lama terjejas.
Dalam sidang media di Mar-a-Lago, Florida, Trump turut menyatakan bahawa syarikat minyak terbesar dunia kini diminta untuk melabur berbilion dolar bagi membaiki infrastruktur minyak yang rosak teruk di negara itu.
Venezuela, sebagai negara pengasas OPEC memiliki rizab minyak mentah terbukti terbesar di dunia dengan jumlah 303 bilion tong atau merangkumi kira-kira 17% daripada jumlah global, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.
Walaupun pengeluaran minyak Venezuela pernah mencapai 3.5 juta tong sehari pada akhir 1990-an, namun angka itu kini merudum kepada sekitar 800,000 hingga 1.1 juta tong sehari, menurut firma perunding tenaga Kpler.
Setakat akhir suku keempat 2025, Chevron menjadi satu-satunya syarikat minyak utama AS yang masih beroperasi di Venezuela dengan mengeksport sekitar 140,000 tong sehari.
Pakar Ekonomi Goldman Sachs, Daan Struyven juga menegaskan bahawa pengeluaran minyak negara itu berpotensi meningkat semula sekiranya kerajaan baharu yang stabil terbentuk dan sekatan ekonomi ditarik balik sepenuhnya.
























































