Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada hari Rabu memaklumkan bahawa rangka kerja perjanjian yang dicapai bersama NATO berkaitan Greenland merangkumi akses kepada hak mineral untuk Amerika Syarikat dan sekutu Eropah, selain kerjasama strategik dalam inisiatif Golden Dome.
Trump menyatakan perjanjian tersebut melibatkan penyertaan bersama dalam pembangunan Golden Dome serta perkongsian hak mineral antara Amerika Syarikat dan rakan sekutunya. Beliau turut menggambarkan tempoh perjanjian itu sebagai bersifat jangka panjang.
Apabila ditanya berapa lama perjanjian itu akan berlangsung, beliau berkata “Selamanya.”
Dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Trump menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan menggunakan kekerasan untuk mengambil alih Greenland dan menyeru rundingan segera mengenai status pulau berkenaan.
Tidak lama selepas itu, Trump mengesahkan bahawa satu rangka kerja perjanjian telah dicapai bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte. Susulan perkembangan tersebut, beliau mengumumkan bahawa Amerika Syarikat tidak akan mengenakan tarif ke atas Denmark dan negara-negara Eropah lain pada 1 Februari.
Trump turut menyifatkan persetujuan tersebut sebagai satu konsep perjanjian yang kompleks, tanpa memperincikan butiran lanjut mengenai kandungan atau pelaksanaannya.
Menurut Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Greenland berada di kedudukan kelapan dunia dari segi rizab nadir bumi. Pentadbiran Trump menjadikan pembangunan rantaian bekalan nadir bumi sebagai keutamaan dasar perindustriannya, selaras dengan usaha mengurangkan kebergantungan Amerika Syarikat terhadap China.
Mineral nadir bumi digunakan secara meluas dalam penghasilan magnet yang menjadi komponen penting bagi sistem pertahanan, kenderaan elektrik, elektronik serta pelbagai industri strategik lain.
Usaha Amerika Syarikat untuk mengambil alih Greenland, sebuah wilayah autonomi di bawah Denmark, sebelum ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai potensi keretakan dalam pakatan NATO.
























































