Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Baru-baru ini, isu harga petrol RON95 kembali menjadi perhatian rakyat memandangkan pasaran global kini berdepan ketidaktentuan akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Kebanyakan rakyat mula menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kenaikan harga minyak semula.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter demi rakyat Malaysia.
Anwar turut menyatakan bahawa isu kenaikan harga minyak mentah global dijangka mampu memberi kesan kepada negara susulan ketegangan geopolitik dan sekatan ke atas Selat Hormuz.
Beliau juga menjelaskan bahawa pihak kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 terutamanya melibatkan program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut Anwar, beliau menyedari situasi pasaran global kini sukar dikawal sepenuhnya susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran yang menyebabkan sentimen pasaran lebih berhati-hati.
Pada masa yang sama, ketegangan di Timur Tengah turut menjejaskan harga minyak mentah, mata wang ringgit dan arus perdagangan antarabangsa.
Buat masa ini, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dilaporkan meningkat 2.78% kepada $67.02 setong, manakala harga minyak Brent pula naik 2.87% kepada $72.87 setong.
Sementara itu, syarikat Rystad Energy menjangkakan harga minyak mentah Brent naik sebanyak $20 setong sekiranya ketegangan antara AS-Israel dan Iran tidak kembali reda.
Isu kenaikan harga minyak sentiasa menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat kerana ia dilihat sebagai faktor yang menuntut pengguna mengawal kadar perbelanjaan seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
Justeru, rakyat Malaysia kini menaruh harapan tinggi agar harga petrol dapat dikekalkan seperti yang dijanjikan, bukannya sekadar kata-kata kosong.



























































