Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk memberikan sokongan padu secara berterusan terhadap dasar-dasar Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Perkembangan itu dilaporkan oleh media Korea Utara ketika Pyongyang dan Moscow kini dilihat semakin rancak menjalin kerjasama dalam bidang ketenteraan.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), menerusi sepucuk surat, Kim menyatakan komitmen untuk menghormati dan menyokong dasar Putin tanpa syarat, serta sentiasa berdiri teguh di belakang pemimpin Rusia tersebut.
Dalam surat berkenaan, Kim turut menyifatkan hubungan persahabatannya dengan Putin sebagai satu kebanggaan dan sangat bernilai.
Beliau juga menambah bahawa surat daripada Putin merupakan ungkapan persahabatan dan kepercayaan kepada dirinya dan rakyat Korea Utara.
Pada masa yang sama, Kim menyuarakan rasa berterima kasih dan mendoakan kejayaan lebih besar kepada semua usaha penting yang diterajui oleh Putin.
Surat tersebut dihantar kepada Putin pada hari sebelumnya sebagai balasan kepada perutusan ucapan tahniah yang disampaikan oleh pemimpin Rusia berkenaan.
Sehingga kini, tiada maklumat rasmi mengenai tarikh sebenar surat itu dihantar meskipun terdapat kemungkinan bahawa ia dikirimkan sempena hari lahir Kim Jong Un.



























































