Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Konflik antara Amerika Syarikat dan Iran mencetuskan ketidakpastian besar telah menyebabkan Bitcoin gagal mengekalkan momentum kenaikan dan masih tersekat di sekitar para $70,000.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $70,692 iaitu positif 0.13% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Situasi menjadi semakin rumit apabila Donald Trump mendakwa rundingan dengan Iran menunjukkan perkembangan positif, memberi bayangan bahawa konflik mungkin menuju ke arah penyelesaian.
Kenyataan itu segera mencetuskan reaksi pantas dalam pasaran.
Bitcoin melonjak daripada sekitar $68,850 ke $71,250, manakala Ethereum turut mencatat kenaikan sekitar 2.5%.
Dalam masa sama, harga minyak mentah yang sebelum ini melepasi $100 setong jatuh ke sekitar $89.40, satu petanda bahawa pasaran menjangkakan ketegangan akan mereda.
Namun, harapan itu tidak bertahan lama.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut.
Menurut beliau, tiada rundingan produktif berlaku dengan Washington, malah Iran juga tidak memberi sebarang respons terhadap mesej yang disampaikan melalui negara perantara seperti Turki, Oman dan Mesir.
Lebih merumitkan keadaan, Iran mengekalkan syarat tegas untuk menamatkan konflik, termasuk penutupan pangkalan tentera Amerika Syarikat, gencatan senjata, kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, pampasan perang serta jaminan tiada serangan pada masa hadapan.
Syarat-syarat ini dilihat sukar untuk dipenuhi dalam masa terdekat.
Akibat percanggahan kenyataan antara kedua-dua pihak, pasaran kini berada dalam keadaan tergantung.
Bitcoin gagal mengekalkan kenaikan dan kembali stabil di sekitar $70,000, mencerminkan sikap berhati-hati pelabur yang masih menunggu kepastian.
Dalam masa sama, harga minyak kekal menjadi faktor kritikal.
Sebarang eskalasi konflik khususnya di kawasan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bekalan minyak global boleh mencetuskan lonjakan harga tenaga.
Kesan rantaian daripada situasi ini termasuk peningkatan inflasi dan tekanan terhadap dasar kadar faedah, yang lazimnya memberi kesan negatif kepada aset berisiko seperti kripto.
Perhatian pelabur kini turut tertumpu kepada data ekonomi Amerika Syarikat, termasuk inflasi dan tuntutan pengangguran, serta sebarang petunjuk daripada Federal Reserve mengenai hala tuju kadar faedah dalam persekitaran kos tenaga yang tidak menentu.
Di sebalik ketidakpastian ini, data on-chain memberikan isyarat yang agak menarik.
Nisbah Exchange Whale Ratio Bitcoin kini berada pada paras 0.7, satu tahap yang secara sejarah sering muncul berhampiran titik terendah pasaran.
Ini menunjukkan bahawa pelabur besar, atau ‘whale’, mungkin sedang mengumpul Bitcoin dan bukannya menjual.






















































