Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas didagangkan rendam kembali berlegar-legar sekitar $4,700 apabila situasi gencatan senjata perang AS-Iran sementara selama dua minggu.
Pada jam 9.10 pagi, harga emas berada pada paras $4,712 iaitu turun 0.15% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa beliau bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama dua minggu, dengan syarat Tehran membuka semula laluan strategik Selat Hormuz.
Perkembangan ini memberi kelegaan awal kepada pasaran global apabila risiko geopolitik dilihat mereda buat sementara waktu. Sentimen tersebut membantu mengurangkan tekanan inflasi dan berpotensi membuka ruang kepada penurunan kadar faedah oleh bank pusat Amerika Syarikat, sekali gus menyokong permintaan terhadap emas.
Namun, momentum positif ini dijangka terhad. Ketegangan di Timur Tengah masih berlanjutan dengan pertempuran sporadik dilaporkan berlaku, termasuk di Lubnan. Pihak Iran turut melihat insiden tersebut sebagai pelanggaran awal terhadap syarat gencatan senjata yang baru dipersetujui.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, emas berdepan tekanan jualan berikutan kebimbangan bahawa lonjakan harga minyak akibat konflik akan meningkatkan inflasi. Keadaan ini boleh mengehadkan ruang bank pusat untuk menurunkan kadar faedah.
Walaupun emas kekal sebagai aset selamat ketika ketidaktentuan geopolitik, daya tarikannya cenderung berkurang dalam persekitaran kadar faedah tinggi.
Sementara itu, minit mesyuarat Federal Reserve menunjukkan pembuat dasar masih menjangkakan penurunan kadar faedah tahun ini.
Namun, mereka menekankan keperluan untuk kekal fleksibel dalam menilai kesan konflik dan dasar perdagangan terhadap inflasi serta pasaran buruh, yang dilihat masih berada dalam keadaan stabil tetapi tidak berkembang signifikan.



















































